Just a few words

I may not always update my blog but when I do I go all out. LOL

Hehehe, sebab tak tahu ada ke tak lagi orang yang jenguk blog ni sebab dah bertahun tak berupdate, so kalau ada update tuuu macam wow! Heh ;)

kalau nak baca, sila kan, :)


link fb: Addi. Shalala
link twitter: Addi
email: hello.addistry@gmail.com

21 February 2016

Anak Dara Pak Wahid Misai Lentik (2014)

11 Oktober 2011
Hai. Nama aku Nurin Nazmi. Nak dijadikan cerita, aku ialah seorang pelajar perubatan tahun 4. Sudah menjadi tradisi bagi setiap pelajar yang telah tamat pembelajaran tahun 4 akan menjalani elektif di mana-mana hospital yang mereka inginkan sepanjang cuti semester ini. Maka dengan itu, aku memilih hospital ini. Hospital yang mana tak perlu disebut namanya.
Hari ini hari ke 44 aku disini. Macam biasa pagi-pagi aku akan pergi ke wad perubatan, tengok siapa ada di wad, katil mana kosong, pesakit mana lagi yang aku belum temu ramah. Borak-borak sikit dengan sister atau staff nurse untuk mengetahui gossip terbaru. Kalau jururawat baik hati, aku akan cuba memujuk mereka supaya aku dapat melakukan beberapa prosedur seperti ambil darah, ECG, pleural tap dan sebagainya. Itupun, kalau bernasib baiklah. Kalau bosan, aku akan pergi ke jabatan kecemasan. Mana tahu boleh tengok darah memancut-mancut ke? Baru menarik sikit hidup aku dekat hospital ini.
Macam biasa wad kecemasan sememangnya sibuk dan selalu dalam keadaan yang cemas, tambah-tambah lagi dengan bunyi siren ambulans. Aku nampak Dr Evan, Dr Choo dan Dr Razi. Semuanya sedang sibuk membantu seorang pesakit yang baru sahaja masuk. Aku kurang pasti sama ada dia masih hidup atau... yang aku tahu, dia bergelumang dengan darah. Kemalangan agaknya.
Aku mengalihkan pandanganku ke tempat lain, di situ aku dapati ada seorang makcik sedang baring dengan face mask yang melekap pada hidung dan mulutnya. Dadanya naik turun, tercungap-cungap. Aku rasa dia mungkin dalam lingkungan umur  60-an. Badannya sederhana sahaja. Aku sekadar memerhati, dan bersandar pada dinding. Kalau boleh memang nak menyerap masuk dalam dinding sebab rasa tak berguna sebab tak menolong pun. Nak tolong, nanti kena marah sebab suka hati aku sahaja kan, aku kan pelajar lagi kalau jadi apa-apa nanti susah. Yang itu aku tak faham, macam mana aku nak tahu kerja apa yang nanti kalau aku jadi doktor betul-betul akan buat. Masa inilah aku patut belajar. Nama pun pelajar. Ini tidak tak beri peluang langsung nak bagi aku belajar. Tak faham sungguh dengan kefahaman orang-orang tinggi ini. Agaknya, mereka terus jadi doktor kot dahulu, tak jadi pelajar perubatan macam aku ini.
“Awak! Pelajar perubatan! Awak yang shawl hitam pakai cermin mata itu.” Tiba-tiba satu suara singgah ke telinga, dan aku rasa dia cakap pasal aku. Tangannya melambai menunjuk tanda untuk datang kepadanya. Aku tersenyum. Akhirnya. Langkah diayun laju.
“Awak nampak katil nombor 2 tu?” ujar doktor yang aku kurang pasti namanya. Dia sedang sibuk menulis, aku pula tertinjau katil nombor 2. Oh makcik yang aku usyar tadi. Aku angguk sesudah mengenal pasti. “Awak ambil darah makcik itu. Hantar makmal. Boleh?” laju doktor itu mengarah. Aku mengangguk laju, dan kemudian doktor itu segera beredar. Aku pun apa lagi, terus mencari kelengkapan untuk mengambil darah
*
Mujurlah makcik ini peramah. Ada saja dia ingin bercerita. Namanya, makcik Junaidah. Boleh panggil makcik Jun untuk lebih ringkas. Katanya, dia tinggal dekat-dekat sahaja. Rumah anak perempuannya. Pembantu rumah anak dia yang bawa dia ke sini sebab dia mengadu sesak nafas. Ingatkan biasa sahaja, tapi makin lama makin teruk. Aku kembali mendapatkan makcik Jun sesudah aku menghantar tabung uji yang berisi darah ke makmal. Jururawat meminta aku supaya menghantar makcik Jun masuk ke wad perubatan dengan menggunakan kerusi roda. Aku terima sahaja arahan, sekurang-kurangnya aku dapat menolong juga. Walaupun sekadar menolak kerusi roda pesakit.
Aku mula menolak kerusi roda sesudah makcik Jun duduk dengan selesa. Tiba-tiba langkahku terhenti apabila menerima arahan makcik Jun supaya berhenti. Aku mula gelisah. Eh, makcik sesak nafas lagi kah? Rupanya tidak. Mata makcik Jun tak berkelip memandang sesuatu.
“Aziz? Aziz jual tempe ke tu?” kata makcik Jun memandang lelaki yang sedang terbaring. Lelaki itu kemudian bangun  90 darjah. Mungkin sebab terdengar namanya dipanggil seseorang. Makcik Jun melambai-lambai untuk mendapatkan perhatian lelaki itu. Aku sebagai penonton, memerhati sahaja dari tepi.
“Jun? Jun! Jun anak Pak Wahid misai lentik?? Junaidah...” Makcik Jun angguk dan senyuman terukir dibibirnya walaupun aku berdiri dibelakangnya tapi aku tahu mesti makcik Jun tengah senyum sekarang. Lelaki itu yang tadinya beraut wajah tidak percaya, kini, juga tersenyum. Kemudian, makcik Jun menyuruh aku menolak kerusi roda menghampiri pakcik Aziz. Aku menurut saja. Alahai, comel je makcik Jun dengan pakcik Aziz ni. Nak jumpa pun lah, takkan dekat hospital kot. Aku bermonolog sendiri.
Aku rasa pakcik ni datang mesti sebab dia sakit dada. Tengoklah dadanya itu penuh dengan wayar. Aku biarkan makcik Jun dan pakcik Aziz berborak dalam lebih kurang 10 minit. Aku yang buat muka tak ingin tahu tetapi sebenarnya memasang telinga, terdengar lah juga perbualan mereka berdua. Ada kala aku nak tergelak, tapi aku tahan. Cari pasal saja nanti gelak sakan dalam wad kecemasan ini. Ada juga diorang bawak aku masuk wad psikiatri nanti. Tak nak!
*
12 Oktober 2011
Sebagai pelajar perubatan yang bersemangat waja, aku pasti sudah menemu ramah makcik Jun tentang sebab dia datang ke hospital. Kisahnya, makcik Junaidah 65 tahun mengadu sesak nafas sejak seminggu lalu. Katanya, kalau mengemas rumah lama-lama dia cepat semput maka dia berehat saja kalau dah semput itu. Aku korek lagi, kot-kot dia ada mengalami sesak nafas kalau berjalan. Tepat betul sangkaan aku, makcik Jun mengiyakan. Aku dah senyum senget. Dah boleh buat beberapa diagnosis berkenaan penyakit makcik Jun. Bila aku bertanya, jikalau dia ada gunakan lebih dari satu bantal ketika tidur, dia jawab ya. Ada pula ketika dia bangun dari tidur tengah-tengah malam rasa susah nak bernafas. Makin lama makin jelas diagnosis untuk makcik Jun. Aku mengangguk-angguk mendengar jawapan makcik Jun.
Disebabkan makcik Jun ini peramah, ada lah juga kadang-kadang dia masuk cerita dia sendiri padahal aku sendiri tak tanya. Dari cerita cik Jon yang banyak mulut di kampung sampailah bibik Siam-Kelantan yang bekerja di rumah anaknya tapi tak faham bahasa Melayu. Tapi tak apalah, kita layankan saja. Aku pun naik bosan duduk dekat wad tak buat apa-apa baik kita dengar luahan hati makcik Jun ini ye tak? Tapi soalan makcik Jun yang boleh buat pen yang aku pegang semasa menulis terpelanting adalah, “Nurin dah ada teman lelaki?” Adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi aku mendengar soalan itu. Tapi, takkan makcik Jun pun buat pakatan dengan ibu kot.... Aduhai.
Aku sekadar telan air liur. Senyum. Geleng. Ada ke? Teman lelaki? Maknanya kawan lelaki yang boleh dibuat calon suami? Hmm. Nampak gaya macam tak ada. Geleng lagi. Makcik Jun angguk perlahan. Diam. Macam ada bunyi cengkerik pula. Untuk menghindari bunyi cengkerik yang bermain difikiran aku ini, aku terus bertanyakan soalan pada makcik Jun.
“Semalam, kawan makcik ke yang kita jumpa kat wad kecemasan itu?” soal aku apabila selesai membuat rumusan kes makcik Jun. Makcik Jun mengangguk kemudian melemparkan pandangan ke luar tingkap.
“Kawan lama. Kawan masa muda dulu. Dah lama tak jumpa, lebih dari 20 tahun.” Jawab makcik Jun diakhiri dengan senyum simpul. Tak disangka-sangka makcik berkata, “Cinta pertama, makcik.” Haa.. itu dia! Kenyataan paling hangat untuk hari ini. Menarik! Aku menunggu makcik Jun untuk menyambung kenyataan tadi sambil berpura-pura menulis sesuatu. Padahal, itu semua lakonan semata-mata, konon tak berminat. Telinga aku ini sudah disetkan supaya berfungsi dengan lebih efisen untuk misi kali ini. Kisah cinta makcik Jun dan pakcik Aziz.
”Pakcik Aziz kamu tu dulu..jual tempe keliling kampung pakai motor. Orangnya segak. Ramailah peminat.” sambung makcik Jun. Aku pun apa lagi teru sberhenti menulis. Dengan penuh khusyuk mendengar cerita makcik Jun. ”Makcik pun peminat pakcik yang tegar jugak lah ni?” saja aku mengusik. Aku tahu makcik Jun tak kisah. Dia sekadar ketawa mendengar apa yang katakan. Lama jugalah aku ikuti slot ’Kisah cinta makcik Jun dan pakcik Aziz’.
Secara ringkasnya, bak kata makcik Jun. Pakcik Aziz ini memang kegilaan ramai di kampung. Lagi-lagi kerjanya jual tempe, makin larislah tempenya. Sama ada orang nak beli tempe atau ada anak dara nak mengurat pakcik Aziz. Berdasarkan cerita makcik Jun, dia bukanlah pembeli setia tempe pakcik Aziz, tapi dia tahu waktu penjualan tempe di kawasannya. Pakcik Aziz selalunya berhenti di pondok bas berhadapan dengan rumah makcik Jun untuk menjaja tempenya. Jiran-jiran yang berdekatan yang mahu membeli tempe akan datang ke situ. Makcik Jun pun apa lagi, waktu itu jugalah dia terkedek-kedek keluar rumah, menyapu laman. Ala-ala perempuan melayu terakhir lah konon. Sambil-sambil itu curi-curi pandang pakcik Aziz yang sibuk melayan pelanggan. Ada juga masa, mata mereka bertembung, pakcik Aziz hanya senyum tapi makcik Jun yang menggelabah terus lintang pukang masuk rumah. Alahai comel. Lama-lama makcik Jun tekad, dia memberanikan diri. Satu hari dia pergi beli tempe jualan pakcik Aziz. Kata mak kepada makcik Jun, anak dia seorang ini demam ke apa, tak pernah-pernah makan tempe sekali nak beli tempe nak dibuat sambal tempe nanti petang. Makcik Jun dengan muka selamba menjawab, ”Demi cinta, jalan seberang sanggup ku lintasi, tempe Aziz, sanggup ku beli.” tapi jawab dalam hati jelah. Mahu kena kejar penyapu keliling kampung dengan mak kalau jawab macam tu depan dia.
Alangkah terkejut rasa nak pengsan makcik Jun, tiba-tiba pakcik Aziz untuk kali pertamanya bercakap dengannya. ”Nak masa apa tempe ni, Jun?” Soalan itu mampu buat jantung makcik Jun berdegup laju macam baru habis kejar dengan peyapu oleh mak. Yang boleh buat makcik Jun tidur tak lena, asyik teringat adegan itu adalah apabila pakcik Aziz memangggil namanya. Jun! Aziz tahu nama aku! Aziz segak jual tempe tahu nama aku, wahai rakyat kampung!!! Mungkin itu yang makcik Jun jerit dalam hati waktu itu. Manalah, tak gembira kan? Orang yang kita minat, tahu nama kita. Gembira tahap balik rumah terus masuk dapur masak sambal tempe. Haha.
”Lepas tu makcik?” Aku pula tak sabar nak tahu lebih lanjut.
”Lepas tu, makcik dengan pakcik Aziz kamu pun mula berkawan.” Senyap. Diam. Ah sudah. Siaran tergendala ke apa ni? Nak kata hujan, tak hujan pun kat luar. Takkan siaran hilang kot. Tidak ! Aku mahu tahu apa yang terjadi selepas itu. Selepas berkawan. Apa jadi ? Kenapa makcik tak kahwin dengan pakcik Aziz ? Mesti ada konflik ini. Wah, wah, pandai betul aku rekacipta cerita sendiri. Memang aku boleh masuk bidang perfileman agaknya.
Sebenarnya, dalam masa yang sama kawan rapat makcik Jun, namanya Saliha turut meminati pakcik Aziz. Iya Saliha namanya, tiba-tiba aku teringat lagu nyanyian Mawi. Okey, kacau daunlah kau, Nurin. Berbalik kepada cerita tadi, Makcik Jun baru tahu apabila mereka berjumpa pada suatu petang. Hajat makcik Jun adalah untuk memberitahu bahawa dia telah jatuh suka, jatuh hati dekat pakcik Aziz. Apakan daya makcik Saliha terlebih dahulu buka cerita menyatakan perasaannya terhadap pakcik Aziz. Maka, terbantutlah hasrat makcik Jun. Takkan makcik Jun nak meneruskan hasratnya. Gila apa ? Kawan rapatnya baru sahaja tersengih semacam kerang busuk ketika bercerita pasal lelaki yang diminatinya, takkan makcik Jun nak cakap yang oh-saya-pun-suka-dia-juga. Tak mahulah, persahabatan yang lama terjalin jadi porak peranda dek kerana seorang lelaki. Jadi, makcik Jun diamkan sahaja.
Disebabkan hari dah lewat. Aku pun dah nampak, makcik Jun macam penat sahaja. Oleh itu, aku tangguhkan dulu perbualan kami untuk kali ini. Mungkin esok boleh sambung balik. Tak sabar nak tahu apa jadi sebenarnya. Memang rasa macam tengok slot Akasia kat tv3 sebabnya kena tunggu esok untuk episod seterusnya.
Usai aku beredar dari katil makcik Jun, aku terserempak dengan Laila. Laila macam aku juga, pelajar perubatan tahun empat tapi kami bukan dari universiti yang sama. ”Baru nampak kau hari ini.” Aku menyapa Laila yang sedang duduk di kerusi rehat. Laila menoleh ke arah sesudah mendengar sapaan aku. ”Aku tolong Dr. Kumar buat prosedur.” Laila tayang sengih bangga. Sukalah itu.
”Jom.” Laila bangun. Aku angkat kening. Tak faham. ”Teman aku clerk.” Aku mula mengikuti Laila dari belakang. Kami pergi ke wad yang berhadapan dengan wad tadi. Apabila Laila berhenti, aku turut berhenti. Rupanya sudah sampai ke katil pesakitnya. Aku melangkah ke kiri sedikit untuk melihat pesakit yang mahu Laila clerk tadi. Eh, macam kukenal pakcik ini. Bukan ini pakcik Aziz ke yang aku jumpa di wad kecemasan semalam? Juga dikenali sebagai cinta pertama makcik Jun. Aku agak pakcik Aziz dapat mengecam muka aku apabila dia senyum dan mengangguk. Atau, aku sahaja yang perasan. Kot pakcik Aziz buat begitu sekadar rasa hormat je kot. Banyak fikirlah kau, Nurin!
Idea paling joyah pernah aku fikir adalah untuk pura-pura betanyakan kepada pakcik Aziz tentang makcik Jun. Kot-kotlah pakcik boleh buka cerita zaman purba kala pasal mereka berdua itu seronok juga nak dengar ye tak? Serius joyah!
*
13 Oktober 2011
Disebabkan makcik Jun ini sempoi, esoknya dia menyambung kisah yang tergantung semalam. Aku capai kerusi lalu duduk di sisi makcik Jun. Tekun aku mendengar ceritanya. Masa inilah yang paling sesuai untuk bercerita sesudah doktor pakar menemui setiap pesakit. Maknanya, lepas ini, inshaAllah tiada gangguan. Mana seronok dengar cerita tiba-tiba orang kacau kan? Dengan penuh rasa ingin tahu aku mendengar kisah cinta makcik Jun dan pakcik Aziz. Kali ini ada watak tambahan iaitu makcik Saliha.
Menurut penceritaan makcik Jun, apa yang aku fahami adalah yang sebenarnya makcik Saliha sudah lama meminati pakcik Aziz, cuma dia rahsiakan saja dari makcik Jun. Memang makcik Saliha pernah bercerita bahawa dia sudah jatuh hati dengan seseorang di kampung ini. Tetapi tidak dinyatakan nama. Petang itu barulah makcik Jun tahu, yang selama ini makcik Saliha bercerita itu ialah pakcik Aziz. Pakcik Aziz jual tempe.
Sejak dari itu, makcik Saliha selalu mengajak makcik Jun keluar ke pekan bersamanya. Sebenarnya, mengajak keluar ke pekan bersama dia dan pakcik Aziz. Takkan makcik Jun nak menolak permintaan kawan rapatnya. Pada masa yang sama, boleh luangkan masa dengan pakcik Aziz. Walaupun sebenarnya, peluang makcik Jun dengan pakcik Aziz untuk bersama sudah tiada tapi tidak mengapalah. Naik geli geleman jugalah makcik Jun apabila ada adegan-adegan yang rasa nak muntah hijau. Memang rasa nak muntah hijau, tapi hati rasa kena koyak tinggal cebisan saja. Tetapi apa boleh buat, makcik Jun hanya tampal senyum plastik untuk mereka berdua.
Nak dijadikan cerita, 6 bulan selepas itu, pakcik Aziz datang ke rumah makcik Jun. Katanya ada urusan penting. Makcik Jun tahu, pakcik Aziz akan berkahwin dengan makcik Saliha tak lama lagi setelah mereka berdua bertunang.
“Apa tujuan dia datang ke rumah makcik?” tanyaku tiba-tiba. Mesti ada sesuatu ini. Entah-entah diam-diam pakcik Aziz ada perasaan terhadap makcik Jun terus, batalkan pertunangan. Ha, pandai sungguh aku menokok nambah cerita. Memang patut aku buat ijazah kedua dalam bidang perfileman agaknya.
            Kemudian, makcik Jun terus menyambung semula ceritanya. Rupa-rupanya pakcik Aziz datang adalah untuk menyampaikan kad jemputan perkahwinannya. Sebak juga hati makcik Jun ketika itu. Hanya tuhan saja yang tahu, tetapi senyuman kekal tertampal diwajahnya. Cukuplah, dengan makcik Saliha memujuknya untuk menjadi pengapit semasa majlis kahwinnya nanti. Tambah pula dengan cinta pertamanya sendiri yang memberikan kad jemputan kahwin. Mahu tak rabak hati. Mahu tak rabak jiwa dan raga. Aku yang dengar ini pun bersimpati dengan apa yang terjadi pada makcik Jun. Sedihlah. Dahlah, orang yang kita minat itu, kawan rapat pun minat juga. Mahu tak berbelah bagi. Bertahan jugalah air mata aku ini daripada tumpah.
            “Makcik tak boleh nak buat apa. Takkan makcik nak cakap pada dia yang makcik jatuh cinta dengan tunang dia..” mendatar suara makcik Jun. Aku sempat memegang tangannya. Nampak gaya makcik Jun sedih teringatkan cerita lama.
            “Akhirnya, pakcik Aziz kamu berkahwin dengan makcik Saliha. Makcik terlalu sedih dan sudah penat senyum paksa... makcik tak jadi pun pengapit si Saliha. Makcik bawa diri ke Perak. Dari hari itu makcik dah tak jumpa mereka. Makcik balik kampung pun mereka sudah berpindah luar. Jadi makcik memang tak tahu khabar berita mereka. Sampailah terjumpa pakcik Aziz kamu dekat wad kecemasan itu hari.” Tenang makcik Jun berbicara.
            Sudah sampai kehujungnya cerita cinta tiga segi antara makcik Jun, pakcik Aziz dan makcik Saliha. Aku berfikir sendiri, memang benda ini selalu sangat terjadi. Kalau bukan selalu, memang berlaku pun. Dalam tak sedar, dua kawan yang rapat jatuh hati dengan orang yang sama. Yang pandai ekspresikan perasaan itulah yang ada kelebihan, itupun kalau kawannya itu seorang yang mengalah, macam makcik Jun. Demi tak nak calarkan persahabatan yang terjalin antara dia dan makcik Saliha, dia sanggup pendamkan perasaan. Tabik! Pura-pura semuanya baik-baik belaka. Makcik Jun pun mesti rasa bersalah sebab menaruh hati pada orang yang diminati oleh kawan rapatnya yang juga  merangkap tunangan orang. Mungkin sebab itu juga, makcik Jun bawa diri ke tempat lain. Kalaulah makcik Jun tahu....
            “Kalau makcik tak pergi ke Perak. Mesti makcik tak jumpa suami makcik.” Tiba-tiba makcik Jun bersuara. Senyuman terukir di bibirnya. Aku menyambut senyuman itu. Alahai. Comel lah makcik ini.
            *
12 Oktober 2011
            Sebenarnya semasa aku menemani Laila ke wad yang satu lagi itu di mana pakcik Aziz berada, dia sempat bercerita sesuatu. Mulanya begini, “makcik yang kamu tolak hari itu macam mana keadaan dia?” soalan itu seakan-akan tertuju kepadaku. Memang sah soalan itu untuk aku kerana pandangan mata pakcik itu memang tepat ke arah aku.
            “Alhamdulillah. Dia dah okey. Kurang dah rasa sesak nafas.” Ujarku tenang. Laila tayang muka tak faham apa yang sebenarnya berlaku. Memanglah dia tak faham, dia bukan ada pun di tempat kejadian. Tak apa Laila, nanti aku cerita, okey? Mengena jugalah helah aku supaya pakcik Aziz bercerita.
            Menurut penceritaan pakcik Aziz, kejadian ini berlaku pada zaman dahulu kala, aku boleh anggap yang sebenarnya ketika itu dia pun tengah mengalami sindrom jatuh cinta disebabkan tanda-tanda seperti makan tak kenyang, mandi tak basah dan tidur tak lena. Kata pakcik Aziz lagi, memang dia cari nahas saja sebenarnya menjaja di pondok bas. Memang gila. Tak pernah dibuat orang. Lagi lagi kalau ada bas lalu lalang, memang mencari nahas namanya. Tapi apa boleh buat, alasan dia menjaja di situ sebab dia mahu usyar anak dara Pak Wahid misai lentik. Walaupun nasibnya kadang-kadang tak baik. Tak baik maknanya, anak dara Pak Wahid tak keluar rumah, tak dapatlah dia curi-curi pandang. Amboi pandai juga pakcik Aziz cari tempat terbaik nak usyar anak dara orang. Pakcik Aziz sendiri yang kata anak dara Pak Wahid misai lentik yang berjaya menawan hati dia akibat insiden di pasar basah itu hari. Aku pun tak ada lah nak tanya apa insiden yang berlaku dekat pasar basah. Nampak sangat pula yang aku ni si joyah sesat kat hospital kan? Tak nak aku dilabel sebegitu rupa.
            Kata pakcik Aziz lagi, harapannya hancur apabila dia ingin meneruskan hajatnya untuk berkenalan dengan makcik Jun apabila suatu hari dia ternampak Pak Wahid misai lentik bersama dengan seorang lelaki. Pak Wahid si bekas tentera itu sudah pasti mempunyai suara yang lantang. Bonuslah tu, bekas  tentera, misai lentik dan suara lantang. Kombo! Disebabkan suara lantang Pak Wahid itulah, dia terdengar akan perbualan Pak Wahid dengan lelaki itu mengenai hal pertunangan. Yang dia dengar seseorang yang bernama Jun.. Jun.. Jun mana lagi kalau bukan Junaidah. Mana ada nama lain dah dalam rumah itu.
            Segalanya selepas itu hanya tinggal kenangan.
            *
15 Oktober 2011
            Laila dan aku duduk di bangku batu di tepi taman bunga hospital. Tak pernah lah pula jejakkan kaki ke sini. Ini semua dek kerana permintaan Pakcik. Aku selalunya melepak dalam wad sahaja. Tak tahu pula tempat sebegini wujud dalam hospital ini. Nyaman pun ya. Banyak pulak bunga-bunga yang mekar waktu ini, dengan angin sepoi-sepoi bahasa memang tangkap lentok lah. Dari kejauhan aku menatap pada dua orang yang duduk berkerusi roda sedang rancak berbual. Banyak betul nak bercerita gamaknya mereka itu. Hari ini, pakcik Aziz buat permintaan untuk bertemu makcik Jun. Dengan khidmat baik aku dan Laila, berjaya jugalah kami menyelinap keluar makcik Jun dan pakcik Aziz dari wad. Bukan jenayah besar pun, kami ada nak tengok-tengokkan kot-kot ada kecemasan yang berlaku. Harapnya, tidaklah!
            “Kau rasa diorang akan tahu perkara sebenar tak?” soalku tiba-tiba memandang Laila yang duduk termenung disebelahku. Reaksi Laila itu cukup aku boleh katakan yang dia tak faham apa yang aku soalkan tadi.
            “Yelah. Makcik Jun dan pakcik Aziz itu sebenarnya cinta pertama antara satu sama lain. Cuma, takdir sahaja yang tak menyebelahi mereka. Pakcik Aziz ingat, Makcik Jun sudah jadi tunangan orang. Padahal itu semua salah sangka. Sangkaan yang tak ditanya asal usul ikut suka hati buat andaian sendiri. Rupa-rupanya hal pertunangan yang pakcik Aziz dengar itu sebenarnya pertunangan Junaidi, sepupu makcik Jun.” Kataku mengeluh perlahan. Laila hanya mendengar. Dia tidak mencelah. Dia pun dengar dari sebelah pihak sahaja. Cerita makcik Jun dia tak tahu pun.
            Tapi, memanglah, kalau tak kerana pakcik Aziz dengar perbualan Pak Wahid dulu mesti pakcik Aziz dah mengurat makcik Jun dan akhirnya ke jinjang pelamin kan? Bahagia sampai anak cucu. Akan tetapi hidup tak semudah itu kan? Dugaan hidup itu yang mencorakkan apa kita sekarang. Ha, bukan main lagi bermadah pujangga dekat sini. Berminat untuk belajar ijazah kesusateraan pula ke Nurin ooi?
            “Orang kata, setiap awan itu pasti ada garisan keperakan.” kening aku dah terjongket tinggi. Laila? Kau baru google dekat internet untuk alih bahasa ke macam mana ni? Laila tarik senyum. “Ala, orang buat lawak ini. Tak kelakar ke?” tanpa riak Laila soal. “Lam wau lam, sangat Laila!” tanpa riak juga aku membalas. Every cloud has silver lining. Banyak lah kau!
            “Maksud aku, mungkin apa yang kita harapkan masa itu bukan yang terbaik untuk kita. Allah lebih mengetahui. Aku tengok, hidup pakcik Aziz dan makcik Jun bahagia je sekarang.” Ujar Laila memberi pencerahan terhadap kenyataannya yang kelam tadi. Aku mengangguk. Ada betulnya juga. Bila difikirkan balik, kenapa mahu dikenang benda yang dah lepas kan? Itu semua cerita lama, dah boleh masuk arkib dah pun.
            “Cinta pertama kau itu, tak semestinya cinta terakhir kau,” mendatar Laila bersuara. Hebat pula minah ini keluar ayat-ayat hikmah macam ini. Cinta pertama yang kau tak boleh lupa itu tak semestinya cinta terakhir yang kau nak habiskan masa dan sisa-sisa hidup kau kan?
            *
            Rasanya dah hampir 5 bulan aku meninggalkan hospital itu. Kadang-kadang aku rindukan makcik Jun dan pakcik Aziz. Entah apa khabar mereka. Hari itu tidak sempat mahu bertukar nombor telefon, aku cuma memberitahu universiti tempat aku belajar itu saja.
            “Oi. Termenung!” tegur seseorang dari belakang. Aku menoleh. Zahid rupanya. Ditangan Zahid ada satu parcel dan satu sampul warna merah jambu. “Yeen. Ini untuk kau.” Sampul merah jambu itu bertukar tangan. Nama aku tertera pada sampul tersebut. Sah, memang untuk aku. Aku tak berkata apa, sekadar mengoyak sampul itu untuk mengetahui isi kandungannya. Kemudian, aku tersengih sambil geleng kepala. Seriuslah?
Jemputan ke Majlis Perkahwinan
Aziz M Kusman dan Junaidah Wahid
pada hari Ahad 16 Februari 2012
            “Tadi termenung. Sekarang sengih sorang-sorang pula.” Zahid dah garu kepala melihat kelakuan aku. Aku hulurkan kad itu kepada Zahid dengan isyarat supaya membacanya. Laju Zahid membaca. Mukanya kelam. Tak dapat pencerahan lah itu.
”Cuba baca siapa pengantin itu.”
”Aziz M Kusman. Junaidah Wahid. Maka?” Lambat sangat si Zahid ini. Padahal banyak kali aku cerita tentang mereka berdua ini pada Zahid. Mata Zahid mengecil, meneliti semula nama pengantin yang tertera pada kad itu. Macam pernah dengar! Eh!
”Eh kejap.” Nampak dah cahaya pencerahan kat muka itu.
”Junaidah Wahid. Junaidah Wahid? Makcik Jun? Makcik Jun anak Pak Wahid misai lentik itu ke?” ujar Zahid dengan satu nafas. Matanya sudah membulat. Aku mengangguk. Ya. Tepat sekali.
”Dan.... Aziz M Kusman niiiii... pakcik Aziz yang kau cerita itu? Aziz jual tempe?” Boleh menang johan kuiz mingguan bertemakan kisah-cinta-makcik Jun-dan-pakcik Aziz, si Zahid ini. Tak sia-sia aku bercerita kepada kau.
”Serius lah?” soal Zahid tak percaya lagi gamaknya budak ini. Aku angguk laju. Sudah terang lagi bersuluh itu. Makcik Jun dengan pakcik Aziz akan berkahwin tak lama lagi.
”Orang kata, kalau jodoh itu, tak ke mana.” kataku sambil memasukkan semula kad kahwin itu ke dalam sampulnya.
”Dah tu, jodoh kita ke mana pula?” Zahid mula mengusik sambil kenyit mata.
”Jodoh kita gamaknya ke kelas Emergency Medicine lah ye, Tuan Zahid.” serentak dengan itu aku menarik tali beg Zahid. Senyuman aku melebar ke telinga. Dalam hati, aku mendoakan semoga makcik Jun dan pakcik Aziz berbahagia sampai syurga.
           


- This was written specially for Antologi Cerpen : Cinta Pertama published by JS Adiwarna (2014) -

No comments: